Chung Hua Sambir bukti pendidikan satukan masyarakat sejak 1926

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Chung Hua Sambir di Asajaya, malam ini. Foto Norman B

ASAJAYA: Keupayaan Sekolah Chung Hua Sambir bertahan selama satu abad membuktikan peranan penting institusi pendidikan itu dalam menyebarkan ilmu pengetahuan serta menyatukan masyarakat pelbagai kaum sejak 1926.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penubuhan sekolah itu 100 tahun lalu cukup bermakna memandangkan Sambir dan kawasan sekitarnya ketika itu sukar dihubungi.

Menurutnya, generasi terdahulu mempunyai pandangan jauh mengenai kepentingan pendidikan sehingga mengambil inisiatif menubuhkan sekolah untuk masyarakat setempat.

SIMBOLIK…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu kehormat yang lain memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Chung Hua Sambir di Asajaya, malam ini. Foto Norman B

“Sekolah Chung Hua Sambir ditubuhkan jauh lebih awal daripada banyak sekolah kebangsaan yang kemudiannya dibangunkan. Sekolah-sekolah Chung Hua ketika itu menjadi tempat masyarakat Cina, Melayu dan Iban menimba ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Chung Hua Sambir, di sini, malam ini.

Karim berkata sumbangan sekolah Chung Hua tidak boleh diketepikan kerana institusi berkenaan memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan kepada masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.

“Tahniah dan syabas kepada Sekolah Chung Hua Sambir kerana dapat bertahan selama 100 tahun, dari 1926 hingga 2026. Harapan kita sekolah ini akan terus memberikan pendidikan dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan RM120,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membantu pembangunan gelanggang bola keranjang sekolah berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM1.2 juta.

MERIAH…Persembahan tarian singa memeriahkan sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Chung Hua Sambir di Asajaya, malam ini. Foto Norman B

Beliau berharap kemudahan itu dapat disiapkan dalam tempoh terdekat untuk kegunaan warga sekolah serta masyarakat sekitar.

Ditubuhkan pada 1926, Sekolah Chung Hua Sambir kini genap berusia satu abad dan terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat pelbagai kaum di kawasan Asajaya.

Oleh Norman B