KUALA LUMPUR: Women In Management (WIM) Malaysia Chapter menganjurkan Top 50 Professional and Career Women Global Awards 2024 yang ke-14 untuk memberi penghormatan dan meraikan individu cemerlang serta pemimpin wanita dari seluruh negara di rantau ini.
Pengerusi WIM Malaysia Chapter Profesor Dr Selvaraj Oyyan Pilay berkata, acara itu adalah bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam pencapaian profesional dan impak sosial dengan menghimpunkan 54 pemimpin luar biasa dari 26 negara.
Beliau berkata pemenang dipilih berdasarkan potensi kepimpinan mereka, sumbangan kepada masyarakat dan kecemerlangan dalam membawa perubahan bermakna kepada industri serta komuniti.
“Hari ini, daripada sejumlah 296 pencalonan yang kami terima dari 26 negara, kami telah memilih 54 individu dari 23 negara.
“Platform yang disediakan oleh WIM Malaysia menjadi pusat berkumpul kesemua pemimpin ini sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk belajar dan meningkatkan rangkaian sosial sesama sendiri,” katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Lembaga Penasihat WIM Malaysia Tan Sri Anuwar Ali serta pengasas merangkap Pengerusi WIM Sri Lanka da Global Dr Sulochana Segera.
Antara 20 pemenang dari Malaysia ialah Salmi Nadia Mohd Hilmey bagi kategori Kepimpinan Kerjaya-Teknologi, Datuk Nuraslina Zainal Abidin (Pemimpin Korporat Wanita Terbaik), Profesor Madya Dr Zuhanis Mansor (Kepimpinan Kerjaya-Penyelidikan dan Inovasi) dan Profesor Datuk Elizabeth Lee Fuh Yen (Kepimpinan Kerjaya-Sektor Pendidikan dan Kejurulatihan).
Anugerah itu, yang berlangsung hari ini, diasaskan oleh WIM dan memberi penghormatan kepada wanita cemerlang yang telah memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang mereka, memecahkan halangan serta membuka jalan untuk generasi akan datang.
Dalam tempoh 13 tahun lepas, majlis berprestij itu telah mengiktiraf 1,094 personaliti dari 26 negara sekali gus memberikan impak penting dalam kepimpinan global. – Bernama