Sun PhuQuoc Airways perkukuh jaminan halal sajian dalam penerbangan

Facebook
WhatsApp
JAMINAN HALAL... Sajian dalam penerbangan Sun PhuQuoc Airways (SPA) bagi laluan Kuala Lumpur-Phu Quoc-Kuala Lumpur mematuhi keperluan halal dan dibekalkan penyedia katering penerbangan yang memiliki pensijilan halal.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan berpangkalan di Vietnam, Sun PhuQuoc Airways (SPA), memperkukuh jaminan halal bagi sajian dalam penerbangan susulan pengembangan operasi antarabangsanya, termasuk bagi laluan Kuala Lumpur-Phu Quoc.

Pengurus Jualan SPA bagi Pasaran Malaysia Tran The Thuan berkata sajian dalam penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur-Phu Quoc-Kuala Lumpur mematuhi sepenuhnya keperluan halal dan dibekalkan Vietnam Air Catering Services, penyedia katering penerbangan yang memiliki pensijilan halal.

“Kami amat memahami keperluan halal bagi umat Islam. Kami meluangkan banyak masa untuk mengkaji dan memahami pasaran Malaysia. Kami sedar perkara ini sangat penting dan tidak boleh dikompromi. Kami perlu menghormati agama dan meraikan kepelbagaian kepercayaan.

“Kami sentiasa menambah baik perkhidmatan bagi memenuhi keperluan penumpang, termasuk dari aspek jaminan halal memandangkan semakin ramai pelancong Muslim berkunjung ke Vietnam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi laluan Kuala Lumpur-Phu Quoc-Kuala Lumpur, penumpang disajikan hidangan ringan terdiri daripada pastri, biskut dan minuman.

Thuan berkata jaminan halal menjadi semakin penting seiring dengan rancangan SPA memperluas operasinya daripada 20 pesawat ketika ini kepada 32 menjelang akhir tahun, dengan memberi tumpuan kepada pasaran domestik serta pembukaan laluan antarabangsa termasuk ke negara majoriti Muslim.

SPA menyasarkan untuk memiliki 100 pesawat menjelang 2030.

“Kami berharap dapat membawa lebih ramai penumpang ke Phu Quoc dan Vietnam secara keseluruhannya,” katanya.

Thuan berkata penumpang penerbangan antarabangsa SPA juga boleh menebus tiket percuma kereta kabel Sun World Hon Thom serta menikmati diskaun hingga 30 peratus bagi pelbagai tarikan dan perkhidmatan dalam ekosistem Sun Group di Phu Quoc, tertakluk kepada terma dan syarat.

SPA melancarkan laluan terus antara Phu Quoc, pulau terbesar di Vietnam, dan Kuala Lumpur pada 1 September lepas dengan penerbangan pergi balik setiap hari mengambil masa kira-kira satu jam 35 minit bagi setiap perjalanan. – Bernama