J&T Express agih pelitup muka KN95 kepada komuniti terjejas jerebu di Sarawak

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: J&T Express menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas akibat jerebu teruk di Sarawak baru-baru ini dengan mengagihkan pelitup muka KN95 kepada penduduk serta petugas penghantaran barisan hadapan di beberapa kawasan terjejas.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Penjenamaan J&T Express, Steve Yap berkata, syarikat itu menggerakkan sumbernya susulan kebimbangan terhadap kemerosotan kualiti udara dan kekurangan pelitup muka di beberapa komuniti terjejas.

“Apabila kami melihat kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kemerosotan kualiti udara dan mengetahui mengenai kekurangan pelitup muka di beberapa komuniti terjejas, kami segera menggerakkan pasukan untuk mendapatkan pelitup muka KN95 dan menggunakan sumber pengangkutan udara kami sendiri bagi mempercepatkan penghantaran ke Sarawak.

“Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi di seluruh Malaysia, kami percaya adalah penting untuk memainkan peranan dalam menyokong masyarakat dan komuniti di sekeliling kami. Bagi kami, menyumbang kembali kepada masyarakat bermakna bertindak balas terhadap keperluan sebenar dan memberikan sumbangan yang bermakna sedaya upaya,” katanya dalam kenyataan.

Pelitup muka itu diagihkan di Serian, Tebedu, Sri Aman, Engkilili, Lubok Antu dan Kuching, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk tempatan serta petugas penghantaran J&T Express yang terus menjalankan operasi walaupun berdepan dengan kualiti udara yang tidak baik.

Komuniti rumah panjang tempatan turut menerima manfaat, dengan kira-kira 200 penduduk di Rumah Panjang Kampung Mapu Kijabu dan 150 penduduk di Rumah Panjang Bulo menerima pelitup muka berkenaan.

Sumbangan itu diserahkan kepada ketua kampung masing-masing, iaitu Kulin Pi-e dan Lagan Lapek, bagi pihak komuniti.

Inisiatif itu dilaksanakan susulan tempoh jerebu teruk yang melanda beberapa bahagian di Sarawak, dengan Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 500 pada awal September, sekali gus menyebabkan pengisytiharan darurat di Bahagian Serian.

Petugas penghantaran J&T Express yang beroperasi di kawasan terjejas turut dibekalkan pelitup muka sebagai tanda penghargaan terhadap peranan berterusan mereka dalam memastikan kelancaran perkhidmatan penghantaran serta menghubungkan komuniti sepanjang situasi jerebu.

J&T Express memaklumkan syarikat itu akan terus memantau perkembangan yang menjejaskan petugas penghantaran serta komuniti yang menerima perkhidmatannya, selain menyokong inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan dan daya tahan komuniti. – Bernama