PADAWAN: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, hari ini menyerahkan geran bernilai RM100,000 bagi pembinaan jalan ladang sepanjang 3 kilometer dari Kampung Emperoh Karu menuju ke Gua Rembang.
Selain itu, beliau turut menyerahkan geran tambahan sebanyak RM10,000 untuk Gereja St. Mathew, Kampung Emperoh Karu, bagi menyokong program pembangunan gereja tersebut.
Menurut Willie, peruntukan RM100,000 tersebut akan digunakan untuk membina jalan ladang bagi memudahkan akses ke Gua Rembang, yang dilihat mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan baharu.
“Saya berharap geran ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat melalui pembangunan infrastruktur seperti jalan ladang ini,” katanya semasa merasmikan Ekspedisi Gua Rembang di Kampung Emperoh Karu, di sini, hari ini.
Tambah Willie, Gua Rembang memiliki formasi batuan unik serta aliran sungai di dalamnya, berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancongan terutamanya bagi penggemar sukan lasak, pencinta alam dan peminat aktiviti 4×4.
Willie juga memuji usaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Emperoh Karu serta kerjasama Kelab Kembara 4×4 Padawan dalam menganjurkan ekspedisi merupakan inisiatif untuk memperkenal dan mempromosikan Gua Rembang sebagai produk pelancongan.
Beliau turut berkongsi bahawa Parlimen Puncak Borneo, yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, Tarat, dan Serumbu, telah dikenal pasti sebagai kawasan ‘tourism belt’ mempunyai lebih 30 gua di dalamnya.
Antara yang terbesar ialah Gua Raya, terletak di antara Kampung Bratan dan Kampung Simbuh.
“Ruangan gua ini boleh memuatkan sehingga tujuh pesawat Boeing,” katanya.
Menurutnya, kawasan ini juga mempunyai empat lokasi mata air panas, termasuk Kolam Air Panas Annah Rais, Kolam Air Panas Panchor, dan Air Panas Paku.
Katanya, terdapat lebih daripada 38 air terjun yang indah, termasuk Ulu Bengoh, yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Jurassic Park’ dan ‘Curtain Waterfall’ .
Tujuh lagi air terjun terletak di Kampung Assum dan Kampung Sadir di Padawan.
“Kita juga mempunyai Kampung Sapit, yang terkenal sebagai ‘kampung di atas awan’,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Emperoh Karu, Noing Sijim, merakamkan penghargaan kepada Willie atas peruntukan geran tersebut, yang akan membantu usaha mereka membangunkan jalan ladang dan menghubungkan kampung dengan Gua Rembang, seterusnya memulakan langkah untuk memajukan gua itu sebagai destinasi pelancongan.
Presiden Kelab Kembara 4×4 Padawan, Ramces Tawang, pula berkata, acara ekspedisi ini adalah salah satu daripada aktiviti kelab mereka dalam menyokong pembangunan produk pelancongan setempat.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti serupa pada masa akan datang.
Untuk makluman, lebih 100 peserta, terdiri daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda, pendaki, dan penggemar gua, termasuk Willie yang turut serta memandu sendiri kenderaannya, menyertai ekspedisi berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat