Wilfred Yap perkukuh kerjasama komuniti dan polis tangani penipuan dalam talian

Facebook
WhatsApp
PERBINCANGAN… Wilfred Yap melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Kuching ACP Alexson Naga Chabu.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menggesa kerjasama lebih erat antara pertubuhan komuniti dan polis bagi meningkatkan kesedaran awam dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu, hari ini.

Menurutnya, kunjungan itu bertujuan menyampaikan jemputan rasmi daripada Persatuan Foochow Kuching Padawan dan Persatuan Komuniti Simpang Tiga Kuching kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencalonkan seorang penceramah bagi Program Ceramah Kesedaran Penipuan yang akan dianjurkan bersama oleh kedua-dua persatuan berkenaan.

TETAMU lain mendengar penerangan semasa sesi kunjungan hormat.

Katanya, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai taktik penipuan terkini serta berkongsi langkah-langkah praktikal bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada menjadi mangsa.

“Kes penipuan terus meningkat, justeru usaha memperkukuh kesedaran dan pendidikan awam amat penting. Melalui perkongsian daripada PDRM, kita berharap masyarakat akan memperoleh pengetahuan yang berguna untuk mengenal pasti taktik penipu serta melindungi diri daripada menjadi mangsa,” katanya.

Yap turut merakamkan penghargaan kepada Alexson serta warga Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching atas sambutan mesra dan komitmen berterusan mereka dalam memastikan keselamatan masyarakat.

“Melalui kerjasama erat antara pertubuhan komuniti dan agensi penguatkuasaan, kita mampu memperkukuh kesedaran terhadap jenayah penipuan serta mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Oleh Connie Chieng