LINGGA, 22 November: Pendidikan kekal menjadi asas utama pembangunan masyarakat dan negara, selain pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta memiliki sahsiah dan akhlak yang mulia.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, anak-anak merupakan aset penting yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan Sarawak serta Malaysia.
“Anak-anak merupakan aset penting yang bakal menentukan masa depan Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong Tahun 2026, di sini semalam.
Menurut Doris, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited memperkukuh sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada peluang pendidikan berkualiti.
Antara inisiatif berkenaan termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), bantuan pendidikan Yayasan Sarawak, Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP), Program Dwibahasa (DLP) Sarawak serta SeDidik.
Beliau turut menggalakkan murid-murid supaya sentiasa mengamalkan disiplin, kesungguhan dan semangat tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu.
“Murid-murid perlu berusaha menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran digital bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran dan keperluan ekonomi masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kecemerlangan pendidikan tidak boleh digalas oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa, komuniti dan kerajaan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tiada anak yang tercicir daripada arus pendidikan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Doris turut mengingatkan bahawa kejayaan sebenar seseorang murid bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik, malah turut merangkumi pembentukan sahsiah, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat serta negara.
Turut berucap pada majlis berkenaan Guru Besar SK Bakong, Dahlan Ham dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Terang Amit.
Oleh Adi Safarman




