Wei Chong-Kai Wun mara ke suku akhir Terbuka Korea

Facebook
WhatsApp
BEREGU lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melangkah ke suku akhir Terbuka Korea 2026 selepas mencatat kemenangan pada aksi pusingan 16, manakala Chen Tang Jie-Chan Wen Tse tersingkir.

KUALA LUMPUR, 5 November: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2026 selepas menewaskan pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh pada aksi pusingan 16 hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Jinnam itu, Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan mencatat kemenangan 24-22, 21-12 dalam masa 33 minit. 

Pada aksi suku akhir, Wei Chong-Kai Wun dijadualkan berdepan pemenang pertemuan antara dua beregu Jepun Takuto Goto-Tsubasa Yoshida dan Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa.

Turut mengesahkan tempat ke suku akhir ialah beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang menewaskan pasangan Korea Selatan Jin Sung Ik-Lee Seung Hee 21-8, 21-15.

Pang Ron-Pei Jing bakal menentang pilihan utama dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin bagi merebut slot ke separuh akhir.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Chan Wen Tse mengalami nasib berbeza apabila gagal meneruskan kemaraan selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan China Cheng Xing-Zhang Chi 7-21, 13-21.- Bernama