PETRA JAYA, 4 November: Kuching City FC tidak gentar dengan reputasi dan pengalaman pemain Gangwon FC, malah bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri menjelang pertembungan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok.
Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau mahu anak buahnya beraksi dengan penuh keyakinan dan disiplin dalam usaha memburu kemenangan pertama dalam kempen ACL2 musim ini.
Menurutnya, meskipun Gangwon merupakan pasukan yang tersusun dan dibarisi pemain berkualiti, Kuching City tidak seharusnya berasa rendah diri ketika berdepan wakil Korea Selatan itu.
“Kami tidak akan gentar dengan mana-mana pasukan. Kami perlu menunjukkan keyakinan, bukannya bersikap angkuh, tetapi mahu membuktikan bahawa bukan mudah untuk pasukan lawan datang ke gelanggang sendiri dan mendapatkan kemenangan.
“Saya berharap sokongan penyokong serta kesediaan dan motivasi pemain mampu membantu kami memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.
Aidil mengakui Kuching City berdepan cabaran susulan kecederaan beberapa pemain utama, termasuk pemain pertahanan Gabriel Peres dan penyerang Ronald Ngah Wanja yang dijangka tidak dapat beraksi selama dua bulan.
Beliau turut mengesahkan beberapa pemain lain masih belum pulih daripada kecederaan, sekali gus mengehadkan pilihan pemain yang boleh diturunkan bagi perlawanan itu.
Bagaimanapun, Aidil menegaskan masalah berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan, sebaliknya pemain perlu memberikan tumpuan kepada persiapan dan memanfaatkan kemampuan skuad yang ada.
Katanya, Kuching City masih mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan dalam saingan domestik dan peringkat Asia, justeru pemain perlu terus mengekalkan pandangan positif terhadap perkembangan pasukan.
Mengulas kekalahan dalam beberapa perlawanan terakhir, Aidil berkata, keputusan itu perlu dinilai dengan mengambil kira kekuatan pasukan lawan yang dihadapi, termasuk Selangor dan Gangwon.
Beliau berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan pasukan bersedia sepenuhnya menghadapi Gangwon sebelum memberi perhatian kepada perlawanan seterusnya.
Aidil turut mengakui jadual perlawanan yang padat, termasuk aksi separuh akhir menentang Selangor selepas perlawanan esok, memerlukan pengurusan kecergasan pemain yang lebih teliti.
“Kami cuba menguruskan segala perkara yang berada dalam kawalan kami. Kami tidak menjanjikan apa-apa, tetapi akan melakukan segala usaha secara dalaman untuk memberikan sokongan terbaik kepada pemain serta memastikan mereka bersedia dan cergas untuk beraksi,” katanya.
Dalam pada itu, Aidil menyifatkan Gangwon sebagai pasukan yang sangat berdisiplin dan tersusun, selain mempunyai pemain berpengalaman yang mampu memberikan ancaman kepada Kuching City.
Bagaimanapun, beliau percaya sokongan penyokong di Stadium Taha Ariffin mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk memberikan tentangan sengit.
Kuching City akan menentang Gangwon FC dalam aksi keempat Kumpulan H ACL2 pada 8.15 malam esok.
Dalam pertemuan pertama di Korea Selatan pada 29 Oktober lalu, Kuching City tewas tipis 0-1 kepada Gangwon.
Oleh Shahrul Qaizat





