KUCHING: Nasib 22 penghuni yang tinggal sehelai sepinggang setelah empat rumah sewa di kampung Tabuan Dayak musnah dalam kebakaran baru-baru ini mendapat perhatian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.
Setelah menerima laporan berhubung kejadian, Wee turun padang melihat tempat kejadian sekali gus menyelaraskan usaha memberi bantuan dalam kadar yang segera.
Sehubungan itu, MBKS tampil menghulurkan bantuan dalam pelbagai cara, memastikan mereka yang terjejas menerima bantuan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan mereka.
Memahami kepentingan kesinambungan pendidikan untuk kanak-kanak yang terjejas, Wee secara peribadi mengambil inisiatif untuk membawa anak-anak mangsa kebakaran membeli keperluan sekolah bagi memastikan mereka dapat meneruskan persekolahan seperti sediakala.
Selain itu, beliau turut membantu dari segi penyediaan tempat tinggal sementara dan keperluan harian bagi kegunaan mangsa.
Difahamkan, mangsa ditempatkan di penempatan yang disediakan oleh Regal Group Tropic City Enrichment Hub.
MBKS dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan individu yang tampil menghulurkan bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Sarawak Energy (SESCO), Gereja All Saints, ketua masyarakat, ahli MBKS dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Lintang.
“MBKS kekal komited untuk menyokong komuniti semasa krisis dan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk memastikan keluarga yang terjejas menerima bantuan yang mereka perlukan,” katanya.
Dalam kejadian pada 16 Februari lalu, kebakaran tersebut telah memusnahkan sepenuhnya rumah teres dua tingkat jenis separuh kekal, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Penghuni yang terjejas terdiri daripada 18 dewasa dan empat kanak-kanak.
Oleh Rynna Sha’erra