KUCHING: Transformasi digital sebenar dalam sektor kerajaan bukan sekadar bergantung kepada teknologi, sebaliknya memerlukan gabungan inovasi dan kerjasama manusia bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan berteraskan rakyat.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, tiga elemen utama iaitu inovasi, teknologi dan kerjasama manusia perlu bergerak seiring dalam usaha mempercepat transformasi digital serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
“Teknologi memberikan kita enjin, tetapi pecutan sebenar hanya berlaku apabila inovasi, teknologi dan kerjasama manusia bergerak ke hadapan secara harmoni,” katanya ketika merasmikan Digital Government Exchange 2026 (DGX26) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurut Wilson, transformasi digital bukan sekadar menukar borang bercetak kepada format PDF dan meletakkannya di laman sesawang kerana perkara itu hanya merupakan proses pendigitalan, sebaliknya ia perlu melibatkan perubahan menyeluruh terhadap cara kerajaan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, pembangunan kerajaan digital turut memerlukan infrastruktur kukuh dan boleh dipercayai, selain aspek keselamatan siber, perlindungan data, identiti digital, pertukaran data selamat serta ketelusan dan akauntabiliti bagi meningkatkan kepercayaan rakyat.
Wilson turut menegaskan penggunaan teknologi bukan bertujuan menggantikan penjawat awam, sebaliknya menjadi alat untuk memperkasa mereka dalam melaksanakan tugas dengan lebih cekap.

“Teknologi bukan hadir untuk menggantikan anda. Sebaliknya, teknologi hadir untuk memperkasa anda pada masa hadapan dan membawa Sarawak melangkah lebih jauh bersama Malaysia,” katanya.
Katanya, menerusi program ‘AI at Work 2.0’ yang melibatkan kerjasama Kementerian Digital, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), AI Malaysia dan Google Cloud, kira-kira 445,000 penjawat awam disasarkan menerima latihan penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif, aplikasi produktiviti dan automasi aliran kerja.
Dalam pada itu, Wilson turut menekankan pendekatan ‘Pendekatan Seluruh Kerajaan’ bagi mengatasi sistem kerajaan yang beroperasi secara berasingan, sekali gus membolehkan perkongsian data secara selamat antara agensi dan mengurangkan keperluan rakyat menyerahkan maklumat sama berulang kali.
Persidangan julung kali anjuran Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) itu bertemakan ‘Mempercepat Perkhidmatan Awam Melalui Inovasi, Teknologi dan Kerjasama Insan’ dengan menghimpunkan pemimpin kerajaan, pakar teknologi serta wakil industri.

Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, DGX26 diwujudkan sebagai platform khusus untuk pemimpin kerajaan, teknologi dan industri bertukar idea, berkongsi pengalaman serta meneroka kaedah praktikal bagi memodenkan perkhidmatan awam.
“Seiring jangkaan rakyat yang terus berubah, terdapat keperluan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih lancar, mudah diakses dan berteraskan rakyat.
“DGX26 diwujudkan sebagai platform khusus untuk pemimpin kerajaan, teknologi dan industri bertukar idea, berkongsi pengalaman serta meneroka kaedah praktikal bagi memodenkan perkhidmatan awam,” katanya.
Oleh Norman B





