KUCHING: Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan insiden tiang elektrik dan kabel yang tumbang akibat angin kencang dan hujan lebat susulan keadaan cuaca ribut di beberapa kawasan di Sarawak baru-baru ini.
Sarawak Energy dalam satu kenyataan semalam menasihati orang ramai untuk terus menjauhkan diri dari tiang-tiang elektrik yang tumbang kerana ia mungkin masih mempunyai tenaga elektrik pada saat kerosakan kemudahan tersebut.
“Pasukan teknikal Sarawak Energy yang bertanggungjawab untuk pemulihan bekalan elektrik semasa bekalan terputus adalah dalam keadaan berjaga-jaga untuk menangani keadaan kecemasan yang disebabkan oleh cuaca buruk untuk memastikan pemulihan yang cepat dan selamat ke kawasan yang terjejas.
“Orang ramai harus segera menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 Sarawak Energy di 1300 88 3111 atau melaporkan kejadian ini melalui aplikasi mudah alih Sarawak Energy SEB.
“Maklumat yang diberikan dapat mempercepatkan proses mengalih kemudahan elektrik ini dengan selamat kerana ia membahayakan keselamatan orang ramai,”kata kenyataan semalam.
Sarawak Energy turut meminta orang ramai untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan berkaitan jika mereka berhadapan atau melihat sebarang peralatan elektrik bertenaga tinggi yang jatuh, termasuk tiang lampu jalan.
Oarang ramai katanya harus sentiasa berangapan bahawa setiap saluran elektrik yang jatuh tersebut mempunyai aliran aktif arus elektrik dan bertindak segera melaporkan kepada Sarawak Energy untuk mendapatkan bantuan.
“Jangan menyentuh atau mengalih tiang atau kabel elekrtik dan tiang lampu jalan yang jatuh. Jauhkan diri sekurang-kurangnya 10 meter dari tempat yang rosak dan jangan memandu merentasi tiang atau kabel dan tiang lampu jalan yang jatuh,” jelasnya.
Beliau menambah dalam keadaan kabel elektrik atau tiang lampu jalan jatuh ke kenderaan, orang ramai harus berjaga-jaga dan menghubungi nombor kecemasan ‘999’ atau Pusat Khidmat Pelanggan selain tidak keluar dari kenderaan sehingga bantuan tiba.
“Orang ramai juga perlu memberi amaran kepada orang lain di sekitar kawasan itu agar tidak tidak mendekati dan tidak menyentuh kenderaan, jika boleh.
“Sekiranya kenderaan terbakar, keluar dari kenderaan dengan melompat keluar dan mendarat dengan kedua kaki di tanah pada masa yang sama. Pastikan kedua-dua kaki di atas tanah setelah anda mendarat dan lompat jauh dengan kedua-dua kaki tetap bersama sekurang-kurangnya 10 meter dari tempat yang selamat.
“Ini akan mengurangkan ancaman elektrik. Pergerakan yang tidak teratur seperti berjalan atau berlari dekat kabel boleh menyebabkan letusan elektrik kerana perubahan voltan di permukaan tanah,” katanya.