SARIKEI: Teknik menyelamatkan diri dari dalam bangunan yang dipenuhi asap menjadi antara kemahiran penting yang didedahkan kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Rentap menerusi program keselamatan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program selama tiga jam bermula 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dikendalikan empat anggota bomba.
“Seramai 60 peserta terlibat terdiri daripada 40 murid, 14 guru, dua Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), seorang pengawal keselamatan dan tiga pekerja pembersihan.
“Antara pengisian aktiviti ialah ceramah keselamatan kebakaran, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, teknik menyelamat mangsa tanpa menggunakan peralatan serta cara keluar dari bangunan yang dipenuhi asap,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Menurutnya, peserta turut diberikan pendedahan mengenai bantuan asas hayat sebagai pengetahuan asas dalam memberikan bantuan ketika berdepan situasi kecemasan.

“Program turut merangkumi sesi berkaitan bantuan asas hayat dan keselamatan kebakaran.
“Pengisian berbentuk teori dan demonstrasi memberi peluang kepada warga sekolah memahami tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan.
“Pendedahan mengenai cara keluar dari bangunan yang dipenuhi asap khususnya membolehkan peserta memahami langkah keselamatan sekiranya laluan keluar terjejas akibat asap kebakaran,” katanya.
Selain itu, katanya, demonstrasi penggunaan alat pemadam api memberi pengetahuan mengenai kaedah penggunaannya, manakala teknik menyelamat mangsa tanpa peralatan pula memperkenalkan kaedah asas yang boleh digunakan dalam situasi tertentu.
Oleh Earl Anek




