
MIRI: Seorang lelaki warga Indonesia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 30 tiub dadah jenis syabu seberat 2.37 gram.
Tertuduh berusia 47 tahun itu berdepan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didapati memiliki dadah berbahaya itu di sebuah premis di Jalan Rawa 12, Taman Ceria, Bandar Baru Permyjaya, di sini kira-kira 12.45 tengah malam pada 24 Februari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tertuduh ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri semasa operasi dijalankan di premis berkenaan.
Beliau berkata, pihak polis memandang serius isu penyalahgunaan dadah yang kini bukan sahaja melibatkan warga tempatan, malah turut membabitkan warga asing.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran bagi membantu membanteras jenayah ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri hari ini.
Oleh Liong Chai Ling