KAPIT: Warga emas lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari perahu ketika sedang menyeberangi Sungai Rajang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Janggan Muling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.40 malam tadi.
“Sampai di lokasi tempat keluarga mangsa menunggu iaitu di bawah jambatan Sungai Yong, pasukan bomba dimaklumkan bahawa kejadian berlaku di seberang Sungai Batang Rajang iaitu di kawasan Nanga Belawai.
“Mangsa terjatuh ke dalam Sungai Batang Rajang ketika memandu perahu panjang dari Sungai Yong dan menyeberangi Sungai Batang Rajang dan terjatuh di kawasan Nangga Belawai Batang Rajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai Lugom Bengang, berusia 73 tahun.
“Pasukan bomba buat ‘size up’ mengenai maklumat mangsa dan berbincang dengan keluarga bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan kerana hari malam, hujan lebat, cuaca gelap dan Sungai Batang Rajang mula berarus disebabkan hujan lebat.
“Pagi ini, pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan SAR,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN