KUALA LUMPUR, 2 November: Perkhidmatan logistik Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk ambulans terus beroperasi dengan keupayaan yang kukuh dengan kadar pengisian perjawatan sebanyak 86.7 peratus daripada 7,687 jawatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Pemandu Kenderaan kini dinaik taraf kepada Perkhidmatan Kemahiran (H) di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Langkah penstrukturan ini amat penting bagi memastikan pemandu ambulans kita bukan sahaja mahir, malah dilengkapi kemahiran pelbagai yang mematuhi standard kecemasan tertinggi demi keselamatan nyawa pesakit,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata KKM turut membenarkan pegawai Pembantu Khidmat Am (Am) sedia ada yang melepasi saringan ujian kompetensi menjalankan tugas pemanduan di fasiliti berkaitan tanpa sebarang gangguan perkhidmatan.
Ujian Kompetensi Pemanduan (UKP) bagi saringan lantikan baharu selesai pada 27 Oktober lepas manakala pengisian pemandu baharu berkemahiran tinggi akan dilaksanakan secara berperingkat mulai April 2027 dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). – Bernama




