
SARIKEI: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 431 Jalan Betong-Sarikei-Meradong, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paoh, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, dalam kejadian sekitar 8.30 pagi, mangsa yang berumur 61 tahun, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah di kepala dan kaki kiri, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita dari Sesang sedang dalam perjalanan menuju ke Sibu melalui jalan lurus, apabila sampai di di tempat kejadian, tiba-tiba ada sebuah motosikal yang ditunggang oleh mangsa keluar dari pembahagi jalan berhadapan SK Sungai Paoh di laluan kanan menuju ke Jakar.
“Perlanggaran berlaku pada bahagian hadapan kereta dan pada bahagian kiri motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan pada 8.26 pagi oleh pihak perubatan Hospital Sarikei yang tiba di lokasi tersebut.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian motosikal yang dalam proses keluar dari pembahagi jalan di kawasan yang sibuk.
“Namun siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kedua-dua kereta dan motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang,” kayanya.
Tambahnya, pihak polis menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa memandu bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain terjaga,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek