SIBU: Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM80,000 selepas ditipu oleh sindiket ‘phone scam’.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu menerima satu laporan berhubung kejadian itu semalam.
Menurutnya, pada 14 September lalu, mangsa berumur dalam lingkungan 60-an telah menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri dari pihak syarikat DHL.
“Suspek mengatakan bahawa mangsa ada mengirim barang pada 11 September, mengandungi kad bank yang tidak dibenarkan dan akan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, suspek mengarahkan mangsa untuk memberikan maklumat jumlah wang simpanan mangsa bagi tujuan rujukan pihak bank negara dan dikehendaki membuat pemindahan wang.
“Mangsa yang berasa bimbang dan takut telah menurut kesemua arahan yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak dua kali transaksi secara kesuluruhan sejumlah RM80,000 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan.
“Setelah selesai membuat pembayaran tersebut, mangsa berasa curiga dan sedari telah terpedaya oleh suspek dan membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, katanya lagi, orang ramai dinasihatkan tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada pusat respons scam kebangsaan(NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @cybercrimealertrmp@jsjkpdrm.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/