




ROBAN: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak pagi semalam ketika keluar dari Rumah Luang, Empaong dengan berjalan kaki menuju ke Pasar Roban.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei menerima panggilan dari Balai Polis Roban berhubung kejadian orang hilang itu sekitar jam 9.56 pagi, hari ini.
“Mangsa dikenali sebagai Kamoi Paun, 69. Menurut maklumat ahli keluarganya, sekitar jam 8 pagi, mangsa telah keluar dari rumah panjang Empaong dengan berjalan kaki hendak ke Pasar Roban.
“Mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah sejak pagi semalam, sehingga laporan polis dibuat pada hari ini.
“Mangsa juga mempunyai masalah kesihatan iaitu merupakan seorang pesakit darah tinggi dan lemah jantung,” katanya.
PGO berkata semasa kejadian lelaki itu mengenakan baju hitam lengan pendek dan berseluar hitam pendek.
“Sekitar jam 2 petang tadi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Sarikei bertindak membuat pencarian bersama penduduk rumah panjang dalam radius satu kilometer (km) dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat dengan teknik garisan asas sepanjang laluan jalan hutan ke Pekan Roban.
“Pasukan SAR masih belum menjumpai sebarang petunjuk keberadaan mangsa di sepanjang radius pencarian. Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.10 petang atas faktor keselamatan dan hari semakin gelap,” katanya.
Dalam pencarian hari pertama, seramai empat anggota bomba, dua anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), serta
dibantu seramai 15 penduduk rumah panjang.
Oleh ADI SAFARMAN