SARATOK: Sebanyak 77 keping cek melibatkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM607,400 telah diserahkan kepada pelbagai pertubuhan dan organisasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata peruntukan berkenaan melibatkan 44 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dua Biro Wanita, sembilan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), 15 persatuan dan kelab serta enam gereja.
Menurut beliau, penyaluran peruntukan itu memperlihatkan usaha berterusan dalam menyokong pelbagai aktiviti dan keperluan komuniti di kawasan Krian.
“Saya menyeru agar setiap peruntukan yang diberi digunakan dengan sebaik mungkin dan mesti diurus dengan baik serta telus demi kesejahteraan dan kebaikan semua penduduk dan ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek MRP Fasa 2 bagi DUN Krian yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Saratok, petang tadi.
Friday turut mengingatkan semua penerima supaya memastikan setiap peruntukan yang diterima digunakan mengikut tujuan yang telah ditetapkan.
Katanya, pengurusan kewangan yang teratur dan telus penting bagi memastikan manfaat peruntukan dapat dirasai oleh masyarakat serta mengelakkan sebarang masalah dalam pelaksanaan aktiviti.
Pada masa sama, semua penerima diminta mengemukakan laporan perbelanjaan lengkap bagi membolehkan pemantauan dibuat selain memastikan rekod penggunaan peruntukan sentiasa dikemas kini.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menjayakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada penduduk, ahli persatuan serta komuniti setempat.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid; Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan; Pemanca Thomas Lamit serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Krian.
Oleh Adi Safarman





