BSJKD IPD Betong dekati komuniti, tingkat kesedaran tangani penipuan dalam talian

Facebook
WhatsApp
BSJKD IPD Betong menganjurkan program Meet & Greet bersama komuniti di Pasar Spaoh, di sini, hari ini. Foto: IPD Betong

SPAOH: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman penipuan dalam talian (scam) menerusi program Meet & Greet bersama komuniti di Pasar Spaoh, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan IPD Betong, program yang berlangsung dari 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang itu memberi pendedahan kepada orang awam mengenai trend terkini jenayah komersil selain langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

Seramai 33 orang hadir menyertai program berkenaan yang dikendalikan tiga anggota BSJKD Betong iaitu Sarjan Norfariza Mohamed Usup, Sarjan Kennedy Robert Kutin dan Koperal Rozelind Wahit.

Dalam sesi berkenaan, komuniti diberikan penerangan mengenai fungsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), termasuk modus operandi penipuan serta tindakan yang boleh diambil bagi melindungi diri dan keluarga daripada menjadi mangsa.

Orang awam turut diperkenalkan dengan National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997, selain aplikasi Whoscall, Portal Semak Mule/CCID Check dan kod QR yang menyediakan akses kepada E-Book Jenayah Komersil sebagai bahan rujukan.

Menurut IPD Betong, program itu turut menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat memainkan peranan bersama dalam membanteras jenayah komersil dengan mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi PDRM seperti @CyberAlertRMP dan @JSJKPDRM.

Sambutan positif masyarakat terhadap program berkenaan turut membolehkan komuniti mendapatkan maklumat secara terus berkaitan taktik serta trend penipuan yang semakin berkembang dan berubah mengikut keadaan semasa.

Masyarakat juga menunjukkan minat untuk berkongsi bahan E-Book JSJK yang diterima bersama ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan sebagai langkah memperluaskan kesedaran mengenai pencegahan jenayah komersil.

Inisiatif berkenaan memperlihatkan komitmen PDRM, khususnya JSJK, dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta memastikan masyarakat lebih peka, berwaspada dan mengetahui saluran yang tepat untuk mendapatkan bantuan sekiranya berdepan ancaman penipuan.

Oleh Adi Safarman