SRI AMAN: Misteri kehilangan lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sejak Rabu lepas akhirnya terungkai, apabila dia ditemui selamat di Sungai Antu, Batu Lintang, pagi tadi.
Mangsa, Niang Lasa, 75, ditemui oleh penduduk kampung di Sungai Antu, Batu Lintang sekitar jam 10.30 pagi dalam keadaan selamat di luar zon pengoperasian sejauh lebih kurang 8 kilometer (km).
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung penemuan tersebut sekitar jam 11.45 pagi.
Katanya, pasukan operasi dan menyelamat (SAR) telah menerima maklumat bahawa mangsa warga emas yang telah hilang di kawasan kebun di Rumah Ringgit, Ibol Undop sejak Rabu lalu telah ditemui oleh penduduk kampung.
“Mangsa ditemui pada jarak 8 km iaitu di Sungai Antu, Batu Lintang sekitar jam 10.30 pagi dalam keadaan selamat,” katanya.
Muhammad Rais berkata mangsa seterusnya dibawa ke pusat kawalan bomba (PKB) untuk membuat pemeriksaan lanjut dan mangsa seterusnya dibawa ke hospital oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan ambulans untuk menerima rawatan susulan.
“Berikutan penemuan itu, SAR yang telah dilancarkan sejak pagi Khamis lalu oleh agensi penyelamat serta penduduk kampung, ditamatkan sekitar jam 12 tengah hari tadi atas arahan komander operasi, Asisten Superintendan (ASP) Leonard,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas dikenali Niang Lasa yang berusia 75 tahun dilaporkan hilang Rabu lalu di kebunnya dalam kejadian di Sungai Raya, Ibol dekat Undop.
Beliau sebelum itu sempat memberitahu keluarganya beliau mahu pergi ke kebun miliknya di Sungai Raya Ibol.
Mangsa difahamkan menghidapi sejarah sakit jantung. Semasa keluar rumah mangsa tidak menggunakan baju dan hanya menggunakan seluar panjang dan membawa parang.
Oleh ADI SAFARMAN