BETONG: Seorang lelaki warga emas yang berusia 82 tahun telah dilaporkan hilang di kawasan hutan dalam kejadian di Rumah Sawing, Merutih, Ulu Skrang.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah menerima panggilan mengenai orang hilang di hutan dari Balai Polis Skrang sekitar jam 9.57 malam tadi.
“Pada 26 November (Selasa) lalu, sekitar 9 pagi, mangsa dikenali Gelau Rayang berumur 82 tahun telah keluar rumah tanpa memberitahu sesiapa.
“Namun sehingga laporan polis dibuat pada keesokan harinya, 27 November (Rabu) sekitar jam 8.11 malam mendapati mangsa masih tidak balik ke rumah.
“Ahli keluarga mangsa bersama penduduk kampung telah melakukan pencarian awal namun mangsa masih belum ditemui,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa turut dilihat oleh jiran telah keluar berjalan di atas bukit seperti hendak pergi ke kebun dengan anggaran jarak lebih kurang 2 kilometer (km) dari rumah panjang.
“Pengadu memaklumkan bahawa mangsa mengalami masalah kurang pendengaran, menghidap penyakit darah tinggi dan kolestrol. Mangsa difahamkan tinggal bersama dengan anaknya,” katanya.
Sementara itu, BBP Betong dengan kekuatan seramai dua anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan ll, Edwin Jonani telah bergerak ke Balai Polis Skrang untuk mengambil maklumat berkaitan dengan kes.
Setelah perbincangan bersama pihak polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan keesokan harinya memandangkan hari telah larut malam dan jalan ke lokasi kejadian adalah jalan balak.
Mangsa katanya, berambut pendek berwarna putih dan pakaian semasa keluar rumah adalah baju berwarna biru, seluar hitam berselang warna merah.