KUCHING; Sambutan Hari Kemerdekaan begitu sinonim dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, jika bukan kerana perjuangan mereka yang terdahulu dalam usaha membebaskan negara daripada penjajah, tiadalah rakyat dapat kecapi nikmat keamanan dan kemajuan kini.
Sejak 63 tahun Malaysia Merdeka, warga 1 Divisyen di sini tidak melepaskan peluang meraikannya meski pun dengan tatacara norma baharu berikutan penularan wabak Covid- 19 yang melanda dunia.
Di Dewan Bukavu, Kem Penrissen di sini berlangsung Sambutan Kemerdekaan ke-63 Peringkat 1 Divisyen yang dimulakan dengan perarakan masuk Jalur Gemilang ke dewan sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan acara menaikkan bendera Malaysia oleh Kpl Ecalas Jacob Masek dari pasukan Batalion ke 10 Rejimen Sempadan.
Selesai acara nyanyian Negaraku, sebuah montaj pendek berkisarkan pengorbanan ke arah kemerdekaan ditayangkan dan disusuli dengan nyanyian tiga buah lagu patriotik yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu ‘Tanggal 31’ dan ‘Warisan’ oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad serta lagu ‘Sejahtera Malaysia’ dendangan Zurin Aniza sambil kesemua warga 1 Divisyen dan ahli BAKAT yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang simbolik meraikan Kemerdekaan kali ini.
Terdahulu berlangsung Pertandingan Memasak Kuih Tradisional dan Menghias Kek BAKAT 1 Divisyen bagi Tahun 2020 yang disertai oleh wakil formasi dari BAKAT Formasi Trup 1 Divisyen, BAKAT Formasi 3 Briged, BAKAT Formasi 9 Briged dan BAKAT Formasi 31 Briged. Pertandingan tahun ini diungguli oleh BAKAT Formasi 9 Briged dari Sibu.
Pematuhan kepada amalan norma baharu tidak menjadi halangan kepada warga ATM di sini menyemarak dan menyemai semangat cintakan negara dengan sambutan kecil seperti ini.
Semoga Kemerdekaan ke 63 kali ini memberi seribu satu makna buat semua dalam mendepani cabaran norma baharu berjuang memerdekakan Malaysia dari wabak Covid-19.
Turut hadir ke majlis itu adalah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Yadi dan isteri Datin Norhayati Usul, Panglima 1 Divisyen, Mej Jen Dato’ Dzulkafli Mustaffa dan isteri, Datin Norziati Othman, serta Panglima-Panglima Formasi.