Wanita tonggak keluarga, penggerak pembangunan komuniti – Lau

Facebook
WhatsApp
UNTUK KENANGAN.....Lau (berdiri tengah) merakam kenangan pada Persidangan Tahunan Ke-63 Wanita Methodist Sarawak Iban di sebuah hotel di sini, semalam. Turut kelihatan ialah Angelyn (berdiri, dua kanan).

SIBU, 18 Oktober: Wanita bukan sahaja menjadi tonggak keluarga, malah memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti, memelihara nilai keimanan serta membentuk generasi muda.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, sumbangan wanita kepada keluarga dan masyarakat menjadi antara faktor penting dalam memupuk keharmonian rumah tangga serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.

“Semasa mengadakan lawatan ke komuniti Iban, saya sering melihat kaum wanita memimpin doa untuk keluarga dan kediaman masing-masing.

“Walaupun amalan itu kelihatan sederhana, ia mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan mendalam wanita terhadap keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tahunan Ke-63 Wanita Methodist Sarawak Iban di sebuah hotel di sini, semalam.

Persidangan itu menghimpunkan wakil wanita dari lima daerah iaitu Sibu, Sibu Jaya, Bintulu, Kapit dan Sarikei, sekali gus menyediakan platform untuk ahli mengeratkan hubungan, berkongsi pengalaman serta saling menimba ilmu dalam memperkukuh iman dan khidmat kepada masyarakat.

Lau yakin lebih ramai wanita akan tampil memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan, sekali gus menyumbang secara lebih aktif dalam kebajikan komuniti, pembangunan generasi muda dan kemajuan sosial.

Menurutnya, penglibatan wanita dalam pelbagai bidang bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga, malah mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Saya berharap kaum wanita terus mengekalkan semangat keimanan dan khidmat kepada masyarakat dengan menyebarkan keprihatinan serta kasih sayang kepada keluarga dan komuniti,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden Wanita Methodist Sarawak Iban, Angelyn Uchi Maseng.

Oleh Akun Giman