SIBU: Hanyut dibuai cinta palsu, seorang pesara pengasuh taman asuhan kerugian RM67,650 diperdaya sindiket ‘love scam’.
Wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu dipercayai terjerat dengan sindiket penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki di laman media sosial Facebook sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki dengan nama James Huong melalui Facebook sekitar pertengahan 2020.
“Suspek memperkenalkan diri dari USA dan bekerja sebagai arkitek dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.
“Suspek juga mengatakan akan datang ke Sibu dan memberi kata-kata manis dengan berjanji akan mengahwini mangsa.
“Pada 27 Oktober 2022, mangsa diminta membayar yuran persekolahan anak suspek di USA atas alasan masih bekerja di pesisir pantai dan tidak dapat balik ke USA.
“Atas rasa cinta mangsa bersetuju memberi wang sejumlah RM7,000 kepada suspek dan dijanjikan dibayar balik kepada mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Sekitar Mei 2023, Zulkipli berkata mangsa dijanjikan hadiah berupa wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS) yang dipindahkan ke akaun mangsa dan membuat mangsa berasa teruja dengan pemberian tersebut.
“Mangsa membuat semakan mendapati tiada kemasukan wang seperti dijanjikan dan suspek memaklumkan berlaku masalah akaun dan perlu mendapat kebenaran Bank Negara untuk kemasukan dolar AS dan mangsa diminta membuat bayaran bagi membolehkan pindahan wang dilakukan.
“Mangsa menuruti dan membuat pembayaran secara berperingkat-peringkat ke dalam beberapa akaun bank tempatan.
“Bermula tempoh 11 Mei 2023 hingga 4 Ogos 2023 mangsa telah membuat pembayaran sejumlah RM67,650 dengan 25 kali transaksi ke dalam tujuh pemilik akaun tempatan berlainan sebagaimana diarahkan oleh suspek,” jelasnya.
Mangsa merasakan dirinya diperdaya apabila ditegur oleh anak saudaranya bahawa mangsa ditipu lalu membuat laporan polis kelmarin.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dan sentiasa berwaspada dengan warga maya atau kenalan baharu yang ingin menjalinkan hubungan persahabatan atau percintaan di laman media sosial terutama menjanjikan hadiah sebagai tanda sayang.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang
http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh Tarani Lanting