KUCHING, 28 Oktober: Polis menahan sembilan lelaki warga Malaysia berusia antara 16 hingga 73 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah kubur di daerah ini.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dari 11 hingga 17 Oktober lalu.
Hasil operasi dan siasatan yang dijalankan, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 15 laporan kes pecah kubur di daerah berkenaan.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati tiga daripada sembilan suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, termasuk ada antara mereka yang pernah melakukan jenayah sama, iaitu pecah kubur.
“Walau bagaimanapun, hasil saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 27 Oktober.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching, hari ini.
Antara barang yang dirampas bagi membantu siasatan ialah tukul besi, pemutar skru, pelbagai barang kemas, rantai, gelang, cincin, anting-anting serta duit syiling lama.
Polis turut merampas beberapa salinan resit pembelian barang kemas dan salinan resit hotel bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Saifullizan menegaskan bahawa PDRM Sarawak akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan pengesanan kegiatan jenayah.
Oleh Norman B





