APMM tahan bot tunda guna EPIRB tamat tempoh

Facebook
WhatsApp
SEPULUH kru bot tunda yang ditahan untuk siasatan selepas disyaki menggunakan alat pemancar penentu kedudukan kecemasan (EPIRB) yang telah tamat tempoh di perairan Bintulu semalam.

BINTULU, 28 Oktober: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) menahan sebuah bot tunda di perairan Bintulu semalam kerana disyaki menggunakan alat pemancar penentu kedudukan kecemasan (EPIRB) yang telah tamat tempoh.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan pada 4.10 petang di kedudukan kira-kira 8.1 batu nautika barat laut Kuala Kemena ketika dalam pelayaran menuju ke perairan Bintulu.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan oleh bot peronda APMM yang menjalankan rondaan menerusi Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 4.0.

“Pemeriksaan mendapati bot tunda itu dikendalikan oleh 10 kru, terdiri daripada tujuh warga Indonesia termasuk nakhoda, dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan.

“Bot tunda bersama dokumen berkaitan kemudian ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Zon Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

BOT tunda yang ditahan pada kedudukan kira-kira 8.1 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 300 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).

EPIRB ialah peralatan keselamatan yang memancarkan isyarat kecemasan bagi membantu mengesan kedudukan vesel ketika berlaku kecemasan di laut, sekali gus memudahkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

“Pematuhan terhadap peraturan keselamatan serta penyelenggaraan peralatan kecemasan merupakan tanggungjawab setiap pengusaha vesel bagi memastikan keselamatan kru dan pengguna laut sentiasa terpelihara.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang serta mengutamakan aspek keselamatan dalam setiap aktiviti di laut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu di talian 086-314 254, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432 544 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

Oleh Carolyne Utih