
MIRI: Seorang wanita tempatan berusia 40 tahun kerugian sebanyak RM281,700 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kes tersebut pada 6 Mei 2026.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang peniaga di daerah ini telah diperkenalkan kepada satu pelaburan saham oleh individu yang baru dikenali menerusi WhatsApp.
“Mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Encik Mike’ menggunakan nombor telefon 011-63546990 dan 011-21267023.
“Mangsa tertarik dengan pelaburan tersebut yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat sebelum membuat lapan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank berbeza berjumlah RM281,700 seperti diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek memberi pelbagai alasan apabila mangsa ingin menuntut keuntungan daripada pelaburan tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.
Masyarakat juga disaran membuat semakan status pelaburan melalui laman web Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan syarikat pelaburan mempunyai kebenaran sah untuk menjalankan aktiviti pelaburan.
Selain itu, orang ramai digalakkan menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber dan baru melakukan transaksi kewangan kepada akaun sindiket penipuan.
Semakan nombor telefon serta akaun bank suspek juga boleh dibuat melalui aplikasi Check Scammers CCID atau laman web Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Oleh Adum Liu