
MIRI: Seorang ahli perniagaan wanita tempatan kerugian RM245,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran tender tidak wujud yang menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan, di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa berusia 61 tahun yang menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu.
Menurutnya, mangsa pada mulanya ditawarkan tender membekal barangan elektronik oleh suspek pertama yang menyamar sebagai pegawai kerajaan.
“Modus operandi sindiket adalah dengan meminta mangsa mendapatkan barangan di luar bidang perniagaannya sebelum diberikan nombor telefon suspek kedua kononnya untuk urusan pembelian.
“Mangsa kemudian diperdaya sehingga melakukan empat transaksi pembayaran ke akaun pihak ketiga yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM245,500,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan pihak berkaitan dan mendapati tender tersebut sebenarnya tidak wujud.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran tender daripada mana-mana agensi kerajaan atau swasta serta mendapatkan pengesahan rasmi sebelum membuat bayaran.
Mangsa penipuan siber juga digesa segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya baru melakukan transaksi mencurigakan.
Oleh Liong Chai Ling