
KUCHING: Seramai 35 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di Kuching, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata operasi selama tiga hari yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu bertujuan membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kuching.
Menurut beliau, seorang individu ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, tiga individu ditahan di bawah Seksyen 12(2) akta sama manakala 31 lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata beberapa jenis dadah turut dirampas dalam operasi tersebut iaitu 0.35 gram dadah disyaki methamphetamine, 8.00 gram dadah disyaki ketamin dan 42.5 gram dadah disyaki cecair ganja.
“Keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM2,739,” katanya.

Alexson berkata kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Sesiapa yang memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JSJN di talian 012-2087222 atau JSJN IPK Sarawak di talian 017-5929211,” katanya.
Oleh Connie Chieng