PETRA JAYA, 6 Oktober: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memberi tumpuan kepada pengundi baharu, termasuk golongan berusia yang sebelum ini belum pernah berdaftar sebagai pengundi, sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata pertambahan bilangan pengundi pada PRN akan datang memerlukan jentera parti memperkemas gerak kerja di peringkat cawangan dan ranting.
Katanya, jentera Wanita PBB perlu menyemak kekuatan setiap cawangan dan ranting, mengenal pasti pengundi baharu serta terus mendekati keluarga dan komuniti di kawasan masing-masing.
“Pengundi baharu bukan sahaja terdiri daripada golongan muda, malah mereka yang lebih berusia dan sebelum ini belum pernah berdaftar sebagai pengundi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB Sarawak Bilangan 6, Penggal 2025 hingga 2028 di Ibu Pejabat PBB Sarawak, hari ini.
Fatimah berkata, tumpuan kepada pengundi baharu penting bagi memastikan jentera parti memahami perubahan komposisi pengundi dan dapat menyusun gerak kerja dengan lebih berkesan di setiap kawasan.
Menurutnya, setiap anggota jentera juga perlu memahami peranan masing-masing serta bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan semua kawasan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Beliau berkata, pendekatan mendekati keluarga dan komuniti merupakan antara kekuatan jentera Wanita PBB kerana mereka lebih mudah bergaul serta menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.
“Kita mesti turun padang dengan disiplin, menyampaikan maklumat dengan tepat, mendengar suara rakyat dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Fatimah berkata, persediaan berkenaan perlu dimulakan lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir bagi memastikan gerak kerja jentera parti dapat dilaksanakan secara tersusun.
Dalam pada itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, sebelum ini menyatakan persidangan berkenaan dijangka menjadi persidangan terakhir bagi penggal semasa.




