SIMUNJAN: Seorang wanita meninggal dunia selepas kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit berhampiran Sabal Kruin di Simunjan dekat sini, semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan telah menerima panggilan sekitar jam 7.40 pagi berhubung kemalangan tersebut.
Seramai tujuh anggota BBP Simunjan diketuai Pegawai Bomba Kanan ll, Adam Sulaiman telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam parit di tepi jalan raya berdekatan Sabal Kruin.
“Seorang mangsa iaitu wanita berumur 35 tahun masih berada dibawah kenderaan. Anggota bomba terus menjalankan operasi untuk mengeluarkan mangsa yang masih berada dibawah kenderaan terbabit,” katanya.
PGO berkata mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.