SIBU: Persidangan Tahunan Cina Sarawak (SCAC) Gereja Methodist Malaysia akan membina pusat jagaan warga emas, ‘Methodist Senior Garden’, bernilai RM15 juta di Sibu Jaya.
Pengerusi Jawatankuasa Projek, Lau Kung Mei berkata, pusat berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas lapan ekar dan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.
Katanya, pembinaan projek itu akan dimulakan sebaik sahaja dana yang diperlukan mencukupi, dengan sebanyak RM2 juta berjaya dikumpulkan setakat ini.
“Kita masih memerlukan baki dana untuk memulakan pembinaan projek ini dan berharap lebih banyak pihak tampil memberikan sumbangan,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak projek berkenaan, hari ini.
Menurut Lau, projek itu membabitkan pembinaan sebuah bangunan empat tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan warga emas.
Katanya, tingkat bawah akan menempatkan ruang pentadbiran dan penerimaan tetamu, ruang penjagaan, tempat beribadat, ruang aktiviti, muzik dan fisioterapi.
“Turut disediakan kedai gunting rambut, kedai serbaneka, ruang makan, dobi serta ruang seni dan kraf tangan bagi memberikan kemudahan serta aktiviti kepada penghuni,” katanya.
Beliau berkata, tingkat satu hingga tiga pula akan menyediakan 126 unit bilik, dengan setiap unit dilengkapi tandas persendirian dan ruang tamu kecil.
Selain itu, katanya, koridor sosial dan kemudahan lif turut disediakan bagi memudahkan pergerakan serta menggalakkan interaksi dalam kalangan penghuni.
“Di kawasan luar bangunan pula akan disediakan taman rekreasi, kemudahan aktiviti kecergasan, kawasan lapang berumput serta kemudahan lain yang sesuai untuk warga emas,” katanya.
Lau berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu merealisasikan pembinaan ‘Methodist Senior Garden’ yang bakal menyediakan kemudahan penjagaan serta persekitaran yang selesa untuk warga emas.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Tiew Sui Kheng Reverend Esther Law dan ahli jawatankuasa, Dato Thomas Tieng.
Oleh Akun Giman





