Dua kebakaran hutan dipadam, operasi di STOLport Bebuling masih diteruskan

Facebook
WhatsApp
OPERASI memadam kebakaran di STOLport Bebuling, Spaoh masih diteruskan. Foto: BBP Betong

BETONG: Pasukan bomba berjaya memadam sepenuhnya dua kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas 3.62 hektar di Betong dan Sri Aman, manakala operasi memadam kebakaran di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, Spaoh masih diteruskan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), kebakaran pertama di hutan Jalan Bungin-Serembang, yang memasuki hari keenam operasi berjaya dipadam sepenuhnya selepas membabitkan kawasan seluas 2.02 hektar.

Operasi berkenaan ditamatkan pada 3.50 petang semalam dengan keseluruhan kawasan terbakar berjaya dipadam dan tiada lagi baki kebakaran.

PADAM… Anggota bomba menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di STOLport Bebuling, Spaoh, Betong, yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Sementara itu, kebakaran hutan di Jalan Kejatau, Sri Aman yang memasuki hari ketiga turut berjaya dikawal sepenuhnya.

Kebakaran yang dilaporkan pada Ahad lalu itu membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar, dan operasi ditamatkan pada 4.04 petang hari ini selepas keseluruhan kawasan berjaya dipadam.

Bagaimanapun, operasi masih diteruskan di STOLportu Bebuling, Spaoh, yang memasuki hari ketiga selepas kebakaran dilaporkan pada Ahad lalu.

Kebakaran membabitkan kawasan seluas lapan hektar, dengan pasukan bomba setakat ini berjaya memadam sekitar 2.5 hektar, manakala baki 5.5 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

JBPM terus menjalankan pemantauan dan operasi pemadaman bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan berhampiran.

Oleh Adi Safarman