LONDON: Manchester United melantik arkitek terkemuka dunia, Foster + Partners untuk membangunkan pelan induk bagi kawasan sekitar Old Trafford sebagai sebahagian daripada projek menaik taraf stadium keramat The Red Devils.
Kelab Liga Perdana itu sedang mempertimbangkan dua pilihan – sama ada membangunkan semula stadium itu atau membina stadium baharu di atas tanah bersebelahan yang dimiliki United.
Pemilik bersama United, Jim Ratcliffe lebih memihak kepada pembinaan stadium baharu dan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Old Trafford difahamkan menumpukan perbincangan mereka kepada pembinaan stadium dengan kapasiti 100,000 penonton daripada membangunkan semula stadium sedia ada.
Justeru, United melantik Foster + Partners yang berpangkalan di London untuk membangunkan pelan induk projek berkenaan.
Firma arkitek itu sebelum ini bertanggungjawab menyelia pengubahsuaian Kompleks Latihan Carrington yang bernilai 50 juta pound (RM279.80 juta).
Norman Foster, nama terkenal dalam seni bina global telah mereka beberapa bangunan ikonik dunia termasuk Bangunan HSBC di Hong Kong, pencakar langit Gherkin di London dan Reichstag yang dibina semula di Berlin.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Foster + Partners itu, berkata: “Sebagai seorang yang bangga menjadi orang Manchester, saya cukup bersemangat dengan peluang yang diberi bagi membina semula warisan industri yang hebat di Manchester.
“Ia akan mewujudkan komuniti yang berdaya huni, dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan yang lestari selain menyediakan rumah dan pekerjaan untuk komuniti tempatan, semuanya dipacu oleh sebuah stadium kelas dunia untuk pasukan bola sepak yang paling terkenal di dunia – Manchester United,” katanya.
Stadium baharu dijangka akan menelan kos sekitar £2 bilion pound (RM11.18 bilion) dengan pasukan tugas khas perlu mengemukakan cadangan akhir mereka menjelang akhir tahun ini.
Penyokong diminta untuk memberikan pandangan mereka mengenai projek berkenaan dengan bekas kapten United, Gary Neville yang turut menganggotai pasukan petugas khas menggesa mereka untuk mengambil bahagian. – AFP