
MARUDI: Pengerusi Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Pampang Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau berkata pertambahan 47 unit SIDS tahun ini dengan seramai 1,504 ahli menunjukkan visi dan peranan SIDS di peringkat kampung dan akar umbi memberi kesan yang positif.
Katanya ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan sudah tentu ia membuahkan hasil daripada usaha semua pihak yang telah melaksanakan tugas dengan amanah, tanggungjawab, berdedikasi serta komitmen yang tinggi.

Beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa induk melalui biro yang telah ditubuhkan dengan kerjasama ketua unit dan jawatankuasa kecil di peringkat unit atas inisiatif dan usaha semua ahli sehingga berjaya mengekalkan SIDS Marudi antara yang terbaik di peringkat Sarawak.
Menurut beliau SIDS Marudi telah menerima anugerah Perak Smart Komuniti daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak pada 2023.
Dalam pada itu Yanti menegaskan pada 2024 SIDS Marudi telah berjaya melaksanakan 20 aktiviti melibaakan semua ahli SIDS Marudi dan bukan ahli.
“Selari dengan misi SIDS Sarawak untuk membangunkan pertumbuhan wanita Dayak di kawasan pedalaman dan pesisir maka kami akan mempertingkatkan usaha untuk mencapai misi tersebut terutama wanita dayak di rumah panjang di kawasan Poyut/LubokNibong Marudi,” katanya.
Sehubungan itu tambah Yanti, berteraskan objektif SIDS melalui biro dan jawatan kerja, beberapa program telah dirancangkan sepanjang tahun ini mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.
“Program yang dirancang ialah seperti bengkel asas rawai, sambutan hari ibu peringkat Marudi, bengkel libat urus Setiausaha dan Bendahari Unit dan Karnival SIDS,” kataya ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan SIDS Pampang Marudi kali ke-30 di Dewan Suarah Marudi yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Oleh Jiku Juguong