
MIRI: Sebuah vesel penumpang yang membawa penumpang di perairan Miri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) selepas didapati beroperasi tanpa peralatan melawan kebakaran selain gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.
Vesel itu ditahan sekitar 2.30 petang semalam di kedudukan 13.2 batu nautika barat laut Tanjung Lobang dalam operasi penguatkuasaan yang dipertingkatkan sempena musim cuti persekolahan.
Pengarah Maritim Zon Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Peraturan Bot 1953.
“Pemeriksaan mendapati vesel tersebut gagal memaklumkan kepada Pegawai Pelabuhan mengenai pertukaran nakhoda dan beroperasi tanpa peralatan melawan kebakaran ketika diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, vesel berkenaan dikendalikan dua kru lelaki warga tempatan berusia antara 32 hingga 34 tahun.
Katanya, perintah tahanan telah dikeluarkan sebelum vesel itu diiring ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.
Mohd Khairol berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan pelayaran.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkat secara konsisten bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat, terkawal dan bebas daripada sebarang aktiviti jenayah maritim,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling