
MIRI: Sebuah vesel nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Miri selepas didapati melanggar peraturan apabila sijil peruntukan radas komunikasinya tamat tempoh dalam operasi di perairan Lutong, semalam.
Vesel itu ditahan kira-kira 3.15 petang pada kedudukan 3.5 batu nautika barat Lutong hasil pemeriksaan rutin oleh aset penguat kuasa.
Pengarah Maritim Zon, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel terbabit dikendalikan lima kru membabitkan seorang warga tempatan dan empat warga Indonesia berusia antara 17 hingga 70 tahun.

Menurutnya, kegagalan memperbaharui sijil komunikasi itu menjadi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Perintah tahanan dikeluarkan dan vesel bersama kru dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan semua vesel mematuhi undang-undang selain menjamin keselamatan perairan negara.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta segera menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Oleh Liong Chai Ling