BRIGHTON: Hasrat Southampton melakar kejutan tidak kesampaian apabila selepas keputusan kontroversi VAR menyaksikan gol kemenangan dibatalkan untuk sekadar seri 1-1 dengan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Flynn Downes memadamkan gol pembukaan Kaoru Mitoma buat Brighton apabila Cameron Archer berasakan dia sudah meletakkan The Saints 2-1 di depan.
Semakan VAR lebih daripada empat minit akhirnya memutuskan Archer berada dalam keadaan onsaid namun menghukum Adam Arsmtrong, yang berada dalam kedudukan ofsaid tetapi tidak menyentuh bola, kerana mengganggu permainan.
Southampton terpaksa berpuas hati dengan mata pertama di gelanggang lawan musim ini susulan keputusan itu dan kekal di tangga tercorot, empat mata berbanding zon selamat.
Satu mata cukup buat Brighton untuk melonjak ke tangga kedua secara susunan abjad di depan Manchester City, yang berdepan pendahulu Liverpool pada perlawanan tumpuan utama tengah malam esok.
Tekanan Brighton akhirnya berbaloi selepas setengah jam apabila Mitoma menanduk masuk hantaran lintang Tariq Lamptey.
Southampton menyamakan kedudukan 13 minit selepas rehat dengan Tyler Dibling menjadi arkitek gerakan gol.
Hantaran pemain remaja itu singgah di kaki Armstrong, dan rembatannya dihalang tetapi bola muntah itu disambut Downes, yang merembat kencang dari penjuru kotak penalti.
Lapan minit kemudian Dibling melepasi tiga pemain Brighton dalam kawasannya sendiri sebelum mengumpan kepada Ryan Fraser.
Hantaran silang leretnya dibiarkan Armstrong dan disudahkan di penjuru gol oleh Archer – sebelum dibatalkan sekali gus mengecewakan bos Russell Martin.
“Saya sudah bosan bercakap mengenai keputusan (pengadil dan VAR),” kata Martin.
“Kami diberitahu ia menjejaskan keupayaan penjaga gol Bart Verbruggen (untuk melihat bola) dan jika larian Adam menganjak Verbruggen daripada posisinya maka saya faham dengan keputusan itu, tetapi dia tidak bergerak. Saya tidak lihat bagaimana ia menjejaskan penjaga gol.” – AFP