
PETRA JAYA: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pengharaman rokok elektronik (vape) bagi mengekang penularan dadah sintetik yang kini semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan belia.
Beliau berkata, penggunaan vape kini dikenal pasti sebagai antara medium utama penyebaran dadah sintetik yang semakin menggantikan dadah konvensional seperti heroin, morfin dan candu.
Menurutnya, pelbagai jenis dadah sintetik kini disalurkan melalui beberapa kaedah termasuk vape serta minuman yang sukar dikenal pasti secara kasar sebagai mengandungi bahan terlarang.
“Kalau kita lihat sekarang ini, kebanyakan dadah yang menular ialah dadah sintetik. Antaranya disalurkan melalui vape dan juga minuman.
“Sebab itu penguatkuasaan perlu dilakukan sepanjang masa dan pihak berkuasa mesti sentiasa selangkah di hadapan sindiket yang menyebarkan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Minggu Belia Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, beliau kekal dengan pendirian bahawa vape perlu diharamkan kerana ia telah menjadi saluran penyebaran dadah yang semakin sukar dibendung.
“Saya sudah mengeluarkan kenyataan supaya vape diharamkan. Kita tahu vape merupakan satu daripada saluran yang digunakan untuk menyebarkan dadah pada masa ini.
“Ada pihak yang tidak mahu perkara itu dilakukan, mungkin kerana mempunyai kepentingan tertentu. Inilah antara punca sebenar yang kita hadapi,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa pengharaman vape akan menyebabkan aktivitinya bergerak secara haram sehingga lebih sukar dikawal, beliau menegaskan alasan sedemikian tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk mengekalkan penggunaannya.
“Mereka yang menyokong vape akan mencari pelbagai alasan untuk memastikan ia terus dibenarkan. Ada yang mengatakan jika diharamkan ia akan bergerak secara bawah tanah dan sukar dikawal.
“Kalau sekarang pun ia tidak diharamkan, adakah mudah untuk dikawal? Jawapannya tidak. Sebab itu kita perlu bertindak tegas, jadikan ia menyalahi undang-undang dan kenakan tindakan yang keras,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kuasa untuk mengharamkan vape terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Sarawak boleh mengemukakan pandangan serta nasihat berhubung perkara tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak menunjukkan sebanyak 5,672.5 mililiter cecair vape bernilai kira-kira RM1.02 juta dirampas sepanjang tempoh 1 Januari hingga 21 Jun 2026.
Katanya, hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati sebahagian besar cecair vape yang dirampas mengandungi bahan seperti etomidate di bawah Akta Racun 1952 serta MDMB-PINACA yang disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ini membuktikan vape telah digunakan sebagai satu daripada saluran penyebaran dadah kerana bahan yang ditemui berada di bawah Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan PDRM Sarawak merekodkan 7,561 tangkapan berkaitan jenayah narkotik dalam tempoh sama membabitkan 362 pengedar, 1,420 pemilik dadah serta 5,779 penagih dan pengguna dadah.
Walaupun mengakui cabaran memerangi dadah masih berterusan, Abdul Karim berkata Sarawak masih berada dalam keadaan terkawal apabila kekal antara tiga negeri yang mencatatkan indeks jenayah dadah paling rendah di negara ini.
Namun katanya, usaha memperkukuh penguatkuasaan terutama di pintu masuk seperti lapangan terbang, pelabuhan serta perkhidmatan pos perlu terus dipertingkatkan bagi menghalang kemasukan dadah ke negeri ini.