Vape kini medium penyalahgunaan dadah, bukan lagi alternatif rokok – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Piala Tarian Naga dan Singa Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 di Wisma Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Vape tidak lagi boleh dianggap sekadar alternatif kepada rokok konvensional, sebaliknya kini menjadi medium penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan sehingga wajar dipertimbangkan untuk diharamkan di negara ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tujuan asal vape diperkenalkan sebagai pilihan kepada perokok yang mahu berhenti merokok kini telah tersasar apabila ia disalahgunakan untuk memasukkan pelbagai bahan terlarang.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan penggunaan vape telah melangkaui kawalan dan memerlukan tindakan tegas daripada Kerajaan Persekutuan.

“Vape sepatutnya diperkenalkan sebagai alternatif kepada rokok tembakau bagi mereka yang mahu berhenti merokok.

“Namun, kini terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan vape sebagai medium untuk memasukkan dadah.

“Mereka memasukkan morfin, ganja, fentanyl dan bahan lain yang sangat berbahaya. Keadaan ini sudah melangkaui kawalan dan terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media Piala Tarian Naga dan Singa Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 di Wisma Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.

Abdul Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak berkata, beliau secara peribadi menyokong sebarang usaha untuk mengharamkan vape di Malaysia berikutan penyalahgunaannya kini memberi ancaman besar kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

Beliau berkata, banyak negara telah mengambil langkah mengharamkan vape dan Malaysia juga perlu mempertimbangkan tindakan sama bagi melindungi kesihatan awam.

“Saya antara individu yang menyokong sebarang usaha untuk mengharamkan vape di Malaysia. Jika boleh, haramkan vape.

“Apa yang berlaku sekarang ialah vape telah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan lain, bukan lagi seperti matlamat asalnya,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kos rawatan penyakit berkaitan vape yang disifatkan semakin membebankan negara.

Katanya, hasil kutipan cukai daripada penjualan vape tidak setimpal dengan kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi merawat serta memulihkan individu yang terjejas akibat penggunaannya.

“Pendapatan yang diperoleh kerajaan daripada cukai vape tidak sampai separuh daripada jumlah yang dibelanjakan untuk rawatan dan pemulihan penyakit berkaitan vape,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat