LONDON: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk menasihatkan Darwin Nunez untuk ‘kekal tenang’ selepas pemain Uruguay itu menamatkan kemarau jaringan yang panjang bersama kelab berkenaan.
Nunez menjaringkan gol pertamanya dalam 15 perlawanan ketika Liverpool menewaskan Bournemouth 3-0 pada Sabtu lalu di kala dirinya tampak sebak dengan penyudah dilakukannya itu.
Penyerang berusia 25 tahun berkenaan mengharapkan permulaan yang segar di bawah kendalian Arne Slot selepas kehilangan tempat dalam pasukan pada bulan terakhir rejim Jurgen Klopp.
Dia memadam kesemua gambar berkaitan Liverpool di akaun media sosial miliknya dan mengakui komen negatif mengenai prestasinya sangat meninggalkan kesan terhadapnya.
Dalam pada itu, Van Dijk menggesa rakan sepasukannya untuk sentiasa berpijak di bumi yang nyata.
“Untuknya, menyertai kelab seperti Liverpool dengan nilai (potensi sekitar 85 juta pound (RM476 juta)), sudah pasti akan menjadi tekanan di setiap minggu dan dia cuba melakukannya tetapi ia bukannya sesuatu yang mudah,” kata Van Dijk.
“Sekarang adalah masa untuknya kekal tenang dan saya fikir, dia sudah melakukan dengan semakin baik dan pengurus sedang sibuk dengannya dan kami sebagai pemain, hanya perlu mendekatkannya dengan kami dan terus ke hadapan.
“Dia disenaraikan (menentang Bournemouth) tetapi dia mungkin tidak diturunkan pada perlawanan seterusnya dan kami mahu dia kekal konsisten dan terus melakukannya.
“Itu adalah perkara utama – jangan mudah terbuai ketika melaui perkara positif atau negatif atau kamu nanti akan pening dari satu sudut yang lain.
“Konsistensi adalah kuncinya. Saya fikir, dia tidak seharusnya tidak terbawa-bawa – tetapi dia tidak begitu – dan kini adalah masa untuknya kembali dan fokus mengenai peluang akan datang. Itulah bola sepak.”
Slot sebelum ini pernah menyatakan keperluan buat Nunez untuk menunjukkan peningkatan dari sudut pertahanan permainannya untuk menjadi tonggak kepada pasukan yang kini berada di kedudukan kedua Liga Perdana selepas meraih empat kemenangan dalam lima perlawanan. – AFP