SAMARAHAN: Teknologi mini satelit ‘v satelit’ (V-SAT) dijangka beroperasi di seluruh negeri ini dalam tempoh dua bulan akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan teknologi komunikasi berharga RM50 juta itu beroperasi sebagai peranti yang bergerak dari menara yang mempunyai operator ke menara lain.
“Jika kawasan itu tidak mempunyai menara atau anda tidak mempunyai operator, anda menggunakan satelit itu (V-SAT) jika sudah ada operator, anda boleh memindahkan peranti ke tempat lain,” katanya pada sidang media selepas upacara Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baru Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di Samarahan semalam.
Menurut Abang Johari Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan menyediakan dua V-SAT untuk meliputi rangkaian komunikasi di seluruh negeri.
“Ia mudah alih meliputi seluruh negeri, banyak kampung yang ingin kami bekalkan (rangkaikan) bermula dari Lawas,” ujarnya.
Abang Johari berkata mini satelit yang berfungsi seperti Measat itu berupaya menutup semua titik hitam di kawasan luar bandar.
“Kepantasan rangkaiannya (internet) adalah sekitar 30 mbps (berbanding kini) rata-rata kepantasan adalah 3 hingga 5 mbps (maka) dengan satelit ini (kepantasan) akan mencapai 30 mbps,” jelasnya lagi.
Abang Johari memberitahu V-SAT merupakan insiatif bagi menggantikan ketiadaan pembekal rangkaian yang enggan beroperasi di menara-menara yang telah dibina sebelum ini.
Sebelum ini Abang Johari pernah mendedahkan keengganan syarikat pembekal rangkaian beroperasi di menara-menara di luar bandar berikutan ketiadaan perniagaan berlangsung di kawasan terlibat.
Dalam perkembangan lain, Abang Johati mengumumkan pesawat pengangkutan bekalan makanan dari Sarawak ke negara lain akan tiba selepas Lapngan Terbang di Spaoh, Mabong di Kapit siap pada 2025.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Oleh Diyana Samsuddin