KUCHING: Lima warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Operasi Selera dan Operasi Belanja di empat lokasi sekitar Kuching, semalam.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita selepas pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kuching dari 2.30 petang hingga 5.00 petang itu membabitkan 15 anggota penguat kuasa.
Dalam operasi berkenaan, empat premis makanan dan perniagaan diperiksa, manakala 16 individu diperiksa, terdiri daripada tujuh warga asing dan sembilan warganegara Malaysia.



LIMA warga Indonesia, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Selera dan Operasi Belanja di empat lokasi sekitar Kuching, semalam.
Selain lima tangkapan, dua saman saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan di sebuah premis perniagaan mendapati semua individu yang diperiksa memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tiada kesalahan imigresen dikesan.
JIM Sarawak berkata pemeriksaan berkenaan menunjukkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pematuhan terhadap peruntukan undang-undang imigresen.
Jabatan itu turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan dipergiatkan secara berterusan di seluruh Sarawak bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras pelanggaran yang boleh menjejaskan kepentingan dan keselamatan negara.
Oleh Afiq Sallehi




