Syarikat sedia ada kembangkan pelaburan di Sarawak

Facebook
WhatsApp
PENGELUAR komponen elektronik dari Jepun, Taiyo Yuden.

KUCHING: Beberapa syarikat yang telah beroperasi di Sarawak dijangka mengembangkan pelaburan mereka, termasuk pengeluar komponen elektronik dari Jepun, Taiyo Yuden yang merancang pelaburan semula sekitar RM600 juta.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perbincangan dengan beberapa syarikat berkenaan telah diadakan dan komitmen turut melibatkan pelaburan baharu.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat yang sudah membuat komitmen, melibatkan pelaburan baharu dan pelaburan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) MINTRED 2030 sempena Hari Integriti dan Inovasi MINTRED 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menjelaskan, fasa keempat pelaburan semula Taiyo Yuden di Sarawak dianggarkan bernilai sekitar RM600 juta.

“Perkembangan itu dijangka menyumbang kepada peningkatan jumlah pelaburan Sarawak tahun ini.

“Terdapat pelaburan baharu dan syarikat yang sudah melabur serta beroperasi di sini akan menambah pelaburan mereka. Jadi, saya yakin jumlah itu akan meningkat,” jelasnya.

Untuk rekod, Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion bagi separuh pertama 2026, melibatkan sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan.

Pada 2025, Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM16.3 bilion menerusi 313 projek dengan potensi mewujudkan lebih 6,500 peluang pekerjaan.

Awang Tengah bagaimanapun tidak memberikan unjuran jumlah pelaburan bagi keseluruhan tahun ini.

Oleh Masrin Affirah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa, menjejaki prestasi lemah Wall Street semalaman berikutan kenaikan harga minyak