KUCHING: Seramai 150 murid Tunku Putra-HELP School Kuching menyertai ceramah kesedaran alam sekitar anjuran Sarawak Metro Sdn Bhd baru-baru ini.
Ceramah selama sejam itu memberi pendedahan kepada murid mengenai sumber tenaga mampan serta penggunaan teknologi hidrogen dalam menyokong mobiliti hijau.
Menurut kenyataan Sarawak Metro, sesi berkenaan turut memperkenalkan kepada murid aktiviti pembinaan yang sedang dijalankan berhampiran sekolah berkenaan, selain kepentingan tenaga hidrogen dan teknologi mobiliti hijau yang diterapkan dalam projek syarikat itu.
Salah satu stesen Transit Aliran Automasi (ART), iaitu Stesen NorthBank IBRACO, sedang dibina berhampiran kawasan komersial NorthBank, berdekatan Tunku Putra-HELP School.
Pengerusi Jawatankuasa Protem Sarawak Metro, Bibi Waheeda Arman Khan berkata, program itu bertujuan memberi pendidikan kepada generasi muda mengenai mobiliti hijau, tenaga hidrogen dan kesedaran terhadap alam sekitar.

“Generasi muda lebih celik teknologi kerana mereka membesar dalam dunia yang semakin moden.
“Sebagai pemimpin masa depan, kami di Sarawak Metro percaya sifat ingin tahu mereka akan mendorong mereka untuk mempelajari lebih lanjut mengenai teknologi hijau dan bagaimana teknologi ini dapat membantu mengurangkan pencemaran serta mewujudkan masa depan yang lebih baik.
“Melalui ceramah berkenaan, Sarawak Metro berharap murid dapat memahami dengan lebih baik mengenai projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) serta kepentingan pengangkutan awam mampan dalam menyokong persekitaran yang lebih hijau,” jelasnya.
Untuk rekod, ceramah kesedaran alam sekitar bersama Tunku Putra-HELP School merupakan antara pendekatan Sarawak Metro untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai teknologi hidrogen yang diterapkan dalam projek KUTS.




