SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di kampusnya.
MoU ini bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan modal insan dan pelbagai aktiviti berkaitan, dengan memberi penekanan kepada hubungan yang saling menguntungkan antara aspek akademik dan industri.
Antara bidang kerjasama yang bakal diterokai termasuk program akademik, pertukaran staf dan pelajar, serta penyelidikan dan penerbitan bersama.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid, dan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Dr. Cassidy Morris.
Menurut Cassidy, UTS adalah salah satu platform yang sesuai untuk JKR dalam menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan.
“Menerusi MoU ini, banyak perkara yang boleh kita terokai bersama kerana kakitangan kami sangat aktif dalam inovasi.
“Berkenaan program dan latihan, JKR boleh menjadi tempat latihan yang baik. Untuk latihan industri, pintu kami sentiasa terbuka.
“Kami mempunyai banyak peluang latihan kerana banyak projek dan pengurusan yang memerlukan latihan di jabatan kami,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan UTS untuk menyesuaikan kurikulum dengan keperluan industri, khususnya JKR, bagi memastikan graduan universiti tersebut lebih bersedia untuk memenuhi keperluan negeri.
“Jika UTS dapat melatih graduan dengan kemahiran yang disesuaikan untuk arkitek, jurutera awam, atau bidang lain di JKR, ia akan meningkatkan kebolehpasaran mereka. Namun, usaha ini juga memerlukan inisiatif daripada pelajar sendiri,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha UTS dalam mempromosikan pengetahuan mengenai ‘Green Building Index (GBI)’, yang turut menjadi matlamat JKR Sarawak.
“Kami ingin belajar daripada UTS dan mengambil langkah untuk membina bangunan mengikut piawaian GBI. Walaupun terdapat cabaran, ini adalah peluang untuk diterokai, dan saya percaya kerjasama ini akan membawa kita lebih jauh,” jelasnya.
Cassidy berharap kerjasama ini dapat memperkukuh hubungan antara UTS dan JKR Sarawak, serta menjadi titik permulaan bagi pencapaian bersama dalam pembangunan akademik dan industri di Sarawak.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Teknikal) JKR Sarawak, Ir Meehan Jorai dan Dekan Sekolah Alam Bina UTS, Profesor Madya Dr. Kan Fock Kui.
Oleh Tarani Lanting