
KUCHING: Setiap tahun, ribuan usahawan dari seluruh dunia berkunjung ke Pameran Perdagangan Musim Bunga Guangzhou China untuk mencari peluang baharu dalam membina rangkaian dan mengembangkan perniagaan mereka.
Tahun ini, sekumpulan usahawan dari Sarawak bakal menyertai delegasi khas yang dianjurkan oleh Persatuan Pengimport dan Pengeksport Perdagangan China Kuching, membawa harapan untuk menghubungkan produk tempatan ke pasaran global.
Bagi Tan Hock Beng, yang mengetuai delegasi tersebut, Pameran Guangzhou bukan sekadar satu acara perdagangan tetapi juga pintu kepada peluang yang lebih luas.
“Setiap kali kami ke sana, kami bukan sahaja bertemu dengan pembekal dan pelanggan baharu, tetapi juga belajar tentang trend terkini dalam industri,” katanya.
Bersama beliau, Timbalan Ketua Wee Yong Kwang dan Presiden Datuk Yii Ming Tang yang bertindak sebagai penasihat bagi memastikan para peserta mendapat pengalaman terbaik sepanjang pameran berlangsung.
Dijadualkan berlangsung dalam tiga fasa bermula 15 April hingga 5 Mei 2025, pameran tersebut bakal menampilkan pelbagai kategori produk – mesin, dan peralatan berat, peralatan rumah, sehingga ke barangan fesyen, dan pertanian.
Peserta berpeluang mencari rakan perniagaan dari pelbagai sektor dan dapat meneroka potensi pasaran baharu.
Salah seorang peserta berpendapat bahawa bagi usahawan kecil dan sederhana di Sarawak, menyertai delegasi tersebut bukan hanya tentang mendapatkan pelanggan atau pembekal baharu, tetapi juga memahami bagaimana pasaran global berfungsi.
“Kadang-kadang, kita tidak tahu sejauh mana produk kita boleh pergi sehingga kita melihat permintaan di luar negara,” katanya yang pernah menyertai pameran tersebut sebelum ini.
Sejak penubuhannya pada tahun 1976, Persatuan Pengimport dan Pengeksport Perdagangan China Kuching telah membantu ramai usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Tahun ini, mereka sekali lagi membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai delegasi dan menjadikan perniagaan mereka lebih kompetitif di peringkat global.
Menurut Tan Hock Beng, bagi mereka yang berminat, penyertaan masih dibuka dan mereka boleh menghubungi pihak sekretariat persatuan atau wakil-wakil yang terlibat untuk maklumat lanjut.
“Kami percaya lebih ramai usahawan dari Sarawak mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Ini adalah peluang untuk mereka mengambil langkah pertama,” tambah Tan Hock Beng.
Dengan harapan tinggi dan semangat untuk berkembang, para peserta bersiap sedia untuk membawa nama Sarawak ke pentas perdagangan dunia.
Pendaftaran masih dibuka untuk mana-mana individu yang berminat untuk menyertai delegasi ini.
Bagi yang berminat boleh menghubungi Penasihat Pasukan Datuk Yii Ming Tang di talian 016-8867390, Ketua Pasukan Tan Hock Beng di 019-8866899 atau Timbalan Ketua Wee Yong Kwang di 016-8959333.
Sebarang pertanyaan lanjut juga boleh diajukan kepada Setiausaha delegasi di talian 019-8881256 atau melalui BELAIR TRAVEL AGENCY, 082-414419 atau 013-861478 (Ms Deborah / Ms Carmel).