
SIMANGGANG: Usahawan Bumiputera, khususnya masyarakat Dayak di Bahagian Sri Aman, digesa bangkit merebut peluang besar susulan kepesatan pembangunan infrastruktur yang kini mengubah landskap ekonomi wilayah ini.
Timbalan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman, Gerald Empaling menegaskan bahawa perubahan drastik dalam sistem pengangkutan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Menurut beliau, projek mega seperti pembinaan Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Lingga dan Jambatan Batang Lupar 2 bakal membuka akses yang lebih luas kepada pasaran dan mempercepatkan pergerakan barangan serta perkhidmatan.
“Apabila infrastruktur siap sepenuhnya, Sri Aman tidak lagi dilihat sebagai kawasan pinggir, sebaliknya muncul sebagai hab ekonomi baharu yang strategik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, pembangunan jajaran jalan pesisir yang menghubungkan Sejingkat di Kuching terus ke Sri Aman turut menjadi faktor utama yang mengubah corak perjalanan dan logistik.
Perjalanan yang sebelum ini mengambil masa kira-kira tiga jam dijangka dipendekkan kepada hanya satu jam 15 minit, sekali gus menjimatkan kos dan masa bagi pengusaha tempatan.
Menurut Gerald, perubahan ini harus dilihat sebagai ‘golden window’ oleh usahawan Dayak untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi dan menembusi pasaran luar.
Beliau menegaskan bahawa peluang ini merangkumi pelbagai sektor termasuk peruncitan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian moden dan logistik.
“Jika kita tidak bersedia sekarang, kita akan ketinggalan apabila gelombang pembangunan ini mencapai kemuncaknya,” tegasnya lagi.
Kenyataan tersebut dibuat bagi menyokong saranan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Sri Naroden Majais, semasa Majlis Makan Malam DUBS Bintulu pada 12 April lalu.
Naroden sebelum ini menekankan bahawa kerajaan Sarawak melalui MINTRED bersama agensi persekutuan komited memperkukuh dasar keusahawanan Bumiputera agar kekal relevan dan berdaya saing.
Dalam pada itu, Gerald menyifatkan DUBS sebagai platform strategik yang mampu mempercepatkan pertumbuhan usahawan Dayak melalui jaringan, latihan dan sokongan berterusan.
Katanya, peningkatan kapasiti usahawan tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mengangkat taraf sosioekonomi komuniti secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Gerald menegaskan komitmen DUBS Sri Aman untuk terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan usahawan tempatan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Oleh Adi Safarman